Friday 27 April 2012

Adab Di Dalam Gelanggang

Assalamualaikum wbh 

Salah satu kriteria penting dalam Gayong Ma'arifat malah perguruan lain juga ialah Adab ketika bergelanggang dan di luar gelanggang. Oleh kerana masih ramai ahli yang belum memahami dan mengaplikasikan adab-adab gelanggang ini, maka ahli-ahli bolehlah merujuk pada posting kali ini. 

1- Adab sebelum masuk gelanggang

  • Berpakaian bersih, sempurna dan bersesuaian. Diwajibkan memakai kain samping dan tutup kepala (tanjak, kopiah, songkok, tudung bagi perempuan)
  • Mengambil wudhu
  • Membetulkan niat diri hadir ke gelanggang untuk menuntut ilmu persilatan dan bukannya untuk bermain-main, berseronok ataupun ber'dating' dengan kekasih hati
2-Adab masuk / mula gelanggang
  • Bersalaman dan sembah hormat sesama ahli 
  • Berkumpul mengikut arahan. Biasanya dilakukan dalam bentuk bulatan. Boleh dilakukan samada dalam keadaan berdiri / duduk.
  • Membaca 'Kaedah Buka Gelanggang' dalam keadaan KHUSYUK dan bukannya bermain-main, berbual-bual, atau tidak menumpukan perhatian. (Kaedah Buka Gelanggang merupakan himpunan ayat-ayat suci dan doa)
  • Imam gelanggang perlu memulakan pembukaan gelanggang / sesi latihan mengikut jadual waktu yg ditetapkan sekiranya gurulatih bertanggungjawab kelewatan. 
3- Adab ketika gelanggang / latihan / tazkirah
  • Jangan berbual-bual, bermain-main, ketawa dan bergurau senda melampau.
  • Hormati khalifah gelanggang iaitu jurulatih (Pendekar / Pendekar Setia / Panglima dsbg)
  • Dengar arahan yang diberikan dan buat arahan dengan bersungguh-sungguh
  • Tumpukan perhatian pada latihan dan arahan yang diberikan. Elakkan sikap membantah-bantah dan mempersoalkan arahan yang diberikan gurulatih didalam gelanggang. Sekiranya ada persoalan, minta izin untuk bertanya dan gunakan bahasa yang bersesuaian.
  • Gunakan panggilan hormat mengikut pangkat / gelaran gurulatih / orang besar yang hadir di gelanggang. 
  • Dilarang makan / minum, merokok, berludah, duduk berehat selagi belum tamat latihan atau bukan dalam waktu rehat yang diizinkan oleh Gurulatih.
  • Tidak bergaduh dan merujuk selisih faham kepada imam atau khalifah gelanggang.
  • Minta izin gurulatih bila henda keluarga gelanggang dan tutup gelanggang jika ingin keluar sebelum tamat latihan.
4-Adab di luar gelanggang
  • Apabila berjumpa, berilah salam, sembah hormat dan bersalamlah. Kita ingin mewujudkan budaya menghormati dan mengeratkan silaturrahim.
  • Gunakan panggilan hormat mengikut pangkat / gelaran gurulatih / orang besar sebagai tanda bahawa orang Melayu-Islam terdidik dengan sopan santun dan menghormati pemimpin dan saudara.
  • Boleh berbual dan bergurau tetapi dengan batas-batas hormat. Jangan bergurau sehingga menjatuhkan maruah / imej / menjejaskan nama selaras dengan budaya Melayu dan syariat Islam.
Contoh Kaedah Hormat 

*Yang pertama sekali perlu dipelajari di dalam gelanggang ialah adab. Apabila tahu ber'adab' maka barulah layak menuntut ilmu.
*Kepada gurulatih gelanggang, didiklah anak-anak buah kepentingan dan ketinggian adab sejak awal mereka menjejak gelanggang.

Saya tidak menanam nenas.

Tanam kepaya di dalam padi,
Saya tidak memandang emas,
Budi bahasa yang saya cari.



Perigi dikatakan telaga,
Tempat budak berulang mandi,
Emas merah ada berharga,
Budi Bahasa bernilai abadi.

No comments:

Post a Comment